Monday, June 17, 2013

PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA MENGIKUT FARAID

ISLAM menggariskan panduan kepada umatnya bagaimana harta pusaka dibahagikan.
Ia bertujuan memberi kebaikan kepada ahli waris dan si mati itu sendiri.

Islam menetapkan sebelum pembahagian dilakukan, setiap harta si mati akan ditentukan statusnya sebagai harta pusaka. Ini termasuk menentukan tuntutan harta sepencarian sekiranya ada.

Seterusnya perbelanjaan pengebumian jenazah, penyelesaian hutang dan pelaksanaan wasiat si mati hendaklah dibuat sebelum harta dibahagikan kepada ahli waris.

Undang-undang yang digunakan bagi membahagikan harta pusaka berdasarkan hukum faraid dijelaskan dalam Surah al-Nisa’ ayat 11 hingga 14: “Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian pusaka untuk) anak kamu, iaitu bahagian anak lelaki menyamai bahagian dua anak perempuan.

Tetapi jika anak perempuan itu lebih daripada dua, bahagian mereka ialah dua pertiga daripada harta yang ditinggalkan. Dan jika anak perempuan itu seorang saja, bahagiannya ialah separuh harta itu.

Dan, bagi ibu bapa si mati, tiap-tiap seorang daripada keduanya seperenam harta yang harta yang ditinggalkan jika si mati ada anak.

Tetapi jika si mati tiada anak, sedang yang mewarisinya hanyalah ibu bapanya, bahagian ibunya sepertiga. Kalau si mati itu mempunyai beberapa saudara, bahagian ibunya ialah seperenam.

(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang diwasiatkan si mati dan sesudah dibayarkan hutangnya. Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya lebih dekat manfaatnya kepada kamu.

Ini adalah ketetapan Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Dan bagimu seperdua daripada harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu jika mereka tiada anak.

Tetapi, jika mereka ada anak, kamu beroleh seperempat daripada harta yang ditinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dengannya atau sesudah dibayar hutangnya.

Dan, bagi mereka (isteri) pula seperempat daripada harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tiada anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak, bahagian mereka ialah seperlapan daripada harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan dengannya dan sesudah dibayar hutangmu.

Dan jika simati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau ibu bapa dan meninggalkan seorang saudara lelaki atau saudara perempuan, maka bagi tiap-tiap seorang daripada keduanya ialah seperenam.

Jika mereka lebih daripada seorang, mereka bersekutu pada sepertiga, sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan olehnya dan sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memudaratkan.

Itulah ketetapan Allah. Dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar. Segala hukum berkenaan adalah batas (syariat) Allah. Dan sesiapa yang taatkan Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan-Nya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya dan itulah kejayaan yang amat besar.
Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, dan melampaui batas syariat-Nya, akan dimasukkan Allah ke dalam api neraka, kekallah ia di dalamnya dan baginya azab seksa yang amat menghina.”
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29

0 Comments:

Post a Comment

<< Home